اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُـحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ
TEMA MAJLIS ILMU 2025
Tema:
“NEGARA DITANAI DENGAN SEDEKAH"
Huraian Skop Tema:
Perkataan tanai bermaksud tatang atau tating. Menurut Kamus Dewan perkataan menanai bermaksud menatang atau menating. Manakala perkataan ditatang seumpama minyak yang penuh membawa maksud sangat dikasihi dan dipelihara dengan sempurnanya. Ungkapan “Negara di tanai atau ditatang" membawa maksud “Negara sangat dikasihi dan dipelihara".
Menanai dengan maksud memelihara atau menjaga memberikan pengertian yang lebih luas dan boleh merangkumi perbuatan memelihara atau menjaga sesuatu yang amat berharga dengan penuh kasih sayang dan perhatian, seperti menjaga anak atau negara, dan sebagainya.
Adapun sedekah dari segi istilah bermaksud: Pemilikan sesuatu dalam hidup tanpa imbalan demi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Perkataan sedekah juga digunakan dalam pengertian linguistik yang menyeluruh, maka zakat juga dipanggil sedekah sebagaimana dalam Surah At-Taubah, ayat 60:
ِ
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ﴿التوبة: ٦٠﴾
Mafhumnya:
“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurus zakat, para mu'allaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan untuk orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan mereka, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Dalam al-Mufradat, sedekah didefinisikan sebagai apa yang dikeluarkan oleh seseorang dari hartanya kerana tujuan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, seperti zakat. Akan tetapi sedekah pada asalnya dikatakan bagi sesuatu yang dikeluarkan secara sukarela, manakala zakat dikatakan bagi sesuatu yang dikeluarkan kerana wajib. Para fuqaha' sering menggunakan perkataan sedekah ini khusus untuk merujuk kepada amal sedekah sukarela (tatawu'). Rujuk Taj al-Arus min Jawahir al-Qamus (13/264); al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah (26/323); al-Mu'jam al-Wasit (1/511); Lisan al-'Arab (7/309).
Sedekah mempunyai banyak kelebihan, antaranya ialah dosa dapat dihapuskan melalui bersedekah sepertimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 271:
إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿البقرة: ٢٧١﴾
Mafhumnya:
“Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan."
Selain dari menghapuskan dosa, amalan bersedekah dengan ikhlas juga akan memberikan ganjaran pahala. Setiap amalan baik akan diberikan ganjaran oleh Allah Subhanahu Wata'ala sepertimana firman-Nya dalam Surah An-Nisaa', ayat 114:
لَّا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا ﴿النساء: ١١٤﴾
Mafhumnya:
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar."
Kemurahan hati melalui amalan bersedekah ini bukan setakat dibalas dengan pahala biasa. Malah Allah Subhanahu Wata'ala telah menjanjikan pahala yang berlipat ganda kerana bersedekah sepertimana firman-Nya dalam Surah
Al-Baqarah, ayat 261:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿البقرة: ٢٦١﴾
Mafhumnya:
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya."
Melalui sedekah juga seorang hamba dapat membuktikan keimanannya kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Ini kerana fitrah manusia dijadikan cinta kepada apa-apa yang diinginkan nafsu termasuk harta benda yang banyak bertimbun dari emas dan perak; kuda peliharaan yang terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Justeru, harta benda adalah salah satu material kesenangan hidup di dunia yang dicintai manusia. Maka tidak hairanlah apabila seseorang itu bersedekah, ia merupakan bukti keimanannya kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana cintanya kepada Allah Subhanahu Wata'ala melebihi dan mengatasi sayangnya kepada harta. Perkara ini ditekankan dalam Surah Ali Imran, ayat 92:
لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ ﴿آل عمران: ٩٢﴾
Mafhumnya:
“Kamu sekali-kali tidak akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu mendermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya (dan akan membalasnya)."
Orang-orang yang suka bersedekah dan mendermakan sebahagian dari harta mereka juga akan dapat menghilangkan kegelisahan dan boleh menghilangkan kesedihan mereka melalui amalan bersedekah tersebut. Perkara ini dijelaskan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 274:
الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿البقرة: ٢٧٤﴾
Mafhumnya:
“Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita."
Selain itu, terdapat banyak lagi kelebihan dan keistimewaan yang telah Allah Subhanahu Wata'ala janjikan kepada orang yang sering bersedekah dan membelanjakan harta mereka pada jalan Allah. Di antara kelebihan dan keistimewaan bersedekah adalah dijanjikan rezekinya akan bertambah dengan banyak kerana amalan bersedekah ini akan membuka pintu rezeki. Orang yang sering bersedekah akan memperolehi naungan di akhirat; bersedekah juga merupakan penawar dan ubat kepada penyakit dan menolong memberikan kesihatan; membantu dan melindungi diri daripada azab api neraka; disediakan pintu syurga yang hanya akan dapat dimasuki oleh orang yang bersedekah; amalan bersedekah juga boleh memanjangkan umur, menghilangkan sifat sombong, kefakiran dan sifat bangga pada diri sendiri; dan amalan bersedekah boleh menjadi penolak bala kerana ia mampu melindungi kita dari kejahatan dan musibah.
Kalau amalan bersedekah dan membelanjakan sebahagian harta pada jalan Allah amat digalakkan oleh agama Islam dan mereka yang melakukannya dikasihi oleh Allah Subhanahu Wata'ala, maka orang yang bersifat bakhil atau kedekut pula sangat dibenci oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan akan diberikan balasan siksa yang pedih di akhirat kelak. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah
At-Taubah, ayat 34:
وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ﴿التوبة: ٣٤﴾
Mafhumnya:
Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Allah Subhanahu Wata'ala juga mengingatkan hamba-hambaNya untuk mengambil peluang melaksanakan amal ibadah dan membuat kebajikan di dunia termasuk dengan membelanjakan sebahagian harta yang diberikanNya melalui amalan bersedekah sebelum datangnya hari akhirat yang tiada lagi diterima amalan selepasnya, sepertimana firman-Nya dalam Surah Ibrahim, ayat 31:
قُل لِّعِبَادِيَ الَّذِينَ آمَنُوا يُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُنفِقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ يَوْمٌ لَّا بَيْعٌ فِيهِ وَلَا خِلَالٌ ﴿ابراهيم: ٣١﴾
Mafhumnya:
Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang beriman hendaklah mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka; sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan).
Bahkan, Allah Subhanahu Wata'ala telah memberikan gambaran dan membayangkan kepada kita akan penyesalan mereka yang bakhil dan enggan membelanjakan sebahagian dari harta mereka di jalan Allah apabila mereka didatangi oleh ajal maut. Mereka merayu untuk dikembalikan semula ke dunia agar mereka dapat bersedekah dan mereka menyesal kerana tidak melakukan amal kebajikan, dan telah mengingkari perintah Allah sedangkan penyesalan mereka sudah tidak ada gunanya lagi, sepertimana dalam Surah Al-Munafiqun, ayat 10:
وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصَّالِحِينَ ﴿المنافقون: ١٠﴾
Mafhumnya:
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh".
Dalam masa yang sama, Allah Subhanahu Wata'ala telah memberikan jaminan kepada hamba-hambaNya bahawa amalan menginfakkan harta melalui sedekah tidak akan mengurangkan sedikitpun harta seseorang sepertimana sabda Rasulullah ﷺ dalam sebuah hadis:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ ... (رواه مسلم):
Mafhumnya:
“Sedekah itu tidak akan mengurangi harta." (HR Muslim)
Sejarah Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan bahawa Kerajaan Brunei sejak dulu hingga sekarang telah lama mengamalkan konsep sedekah yang mungkin saja tidak terdapat di negara lain, termasuk melalui subsidi dan bantuan-bantuan yang disumbangkan oleh negara kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Tidak dinafikan bahawa hasil dari amalan ini telah membawa negara mencapai perkara-perkara yang tidak dicapai oleh negara lain seperti menjadikan negara mantap, negara menjadi maju dan selamat serta aman tanpa berlaku sebarang kekacauan dan huru hara kerana sedekah itu mampu menolak segala bentuk bencana termasuk huru-hara.
Konsep sedekah yang diamalkan oleh negara termasuk melalui subsidi-subsidi makanan, minyak, pendidikan, perubatan dan bantuan kerajaan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta sedekah melalui kurnia pencen umur tua dan kurang upaya, bantuan kebajikan bulanan, dan Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan membawa kepada keberkatan melalui sedekah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pernah menekankan mengenai kelebihan bersedekah yang bukan saja sebagai wadah untuk kita melakukan kebajikan dengan membantu golongan yang memerlukan, tetapi ia juga menjadi penolak bala dan penawar untuk menyembuhkan penyakit sepertimana dalam Titah Perutusan Sempena Menyambut Awal Bulan Ramadan bagi tahun 1443H/2022M. Titah Baginda:
“... dalam bulan Ramadan juga, kita adalah digalakkan untuk membanyakkan sedekah.
Rahsia sedekah sungguh istimewa. Ia bukan sahaja untuk membantu golongan yang memerlukan, tetapi sedekah juga adalah penolak bala dan bahkan ubat penawar untuk menyembuhkan penyakit, sebagaimana Nabi ﷺ bersabda, maksudnya: “Ubatilah pesakit-pesakit kamu dengan sedekah".
Kesimpulannya, terdapat banyak kelebihan sedekah yang boleh kita nikmati di dunia dan juga di akhirat kelak jika kita melakukan amalan yang mulia ini.
Maka tema “Negara Ditanai Dengan Sedekah" membawa maksud kita memelihara dan menjaga keamanan, kesejahteraan, dan kedaulatan Negara dengan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan bersedekah, sama ada sedekah yang dikeluarkan secara sukarela (tatawu'), dan lebih-lebih lagi yang dikeluarkan kerana wajib seperti zakat.
Sub-tema:
- Fadilat dan kelebihan bersedekah. (Sedekah dan Fadilatnya)
- Saluran terbaik dan teratur untuk orang ramai menyampaikan sumbangan dan sedekah serta pengurusan yang berkesan.
- Pendekatan agama dan nilai pendidikan sosial dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat awam terhadap tanggungjawab sosial.
- Menghilangkan sifat bakhil dan sifat mementingkan diri dalam hidup bermasyarakat.
- Melindungi Keselamatan Sosial.
- Impak Kerohanian dan Psikologi.
Objektif:
- Meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat mengenai kelebihan dan kebaikan amalan bersedekah dan bersifat pemurah.
- Menimbulkan kesedaran orang ramai akan tanggungjawab sosial terhadap golongan yang susah dan menanamkan sifat bersedia menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.
- Menanamkan sikap prihatin dan mewujudkan masyarakat yang penyayang serta memupuk perasaan bertimbang rasa agar mereka sentiasa bersedia memberikan bantuan sewajarnya kepada anggota masyarakat yang perlu kepada bantuan dan pertolongan.
- Mengenalpasti cara dan kaedah terbaik untuk orang ramai menyalurkan sedekah dan sumbangan.
Jangkaan Dapatan:
Tema ini dijangka akan dapat:
- Meningkatkan kefahaman, pengetahuan dan penghayatan masyarakat mengenai kelebihan dan kebaikan amalan bersedekah dan bersifat pemurah.
- Menimbulkan kesedaran orang ramai akan tanggungjawab sosial terhadap golongan yang susah dan bersedia menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.
- Mewujudkan masyarakat yang penyayang dan bersikap prihatin serta memiliki perasaan bertimbang rasa kepada anggota masyarakat yang perlu kepada bantuan dan pertolongan.
- Membantu pihak yang berwajib untuk menyampaikan bantuan kepada anggota masyarakat yang memerlukan dengan cepat dan berkesan.
- Mewujudkan pengurusan sedekah yang teratur (good governance).